Khamis, 21 Februari 2019

Kisah Mereka Yang Tertewas Dengan Nafsu, Iktibar Untuk Kita

By 4:43 PTG No comments
Lihatlah Firaun, betapa hebat dan angkuhnya nafsu dirinya hingga berani mengaku sebagai Tuhan. Namun, ketika hampir tenggelam kelemasan ketika terperangkap dalam peristiwa laut yang dibelah oleh Nabi Musa a.s., apa katanya?

Firman Allah dalam surah Yunus, 90 yang bermaksud:
“Dan kami selamatkan bani Israil yang melintasi laut kemudian Firaun dan bala tenteranya mengikuti mereka untuk menzalimi dan menindas mereka. Sehingga ketika Firaun hampir tenggelam, dia berkata, “Aku percaya bahawa tidak ada tuhan melainkan Tuhan yang diimani oleh Bani Israil dan aku termasuk orang-orang muslim (yang berserah diri.)”

Maka Allah menjawab pengakuan Firaun itu dalam ayat seterusnya, 91 yang bermaksud:

“Mengapa baru sekarang (kamu beriman) padahal sesungguhnya engkau telah derhaka sejak dahulu dan engkau termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Kaum Nabi Luth, masihkah ingat lagi pada kisah derhaka mereka kepada Allah. Mereka adalah kaum yang bukan sahaja bertindak mengikut nafsu, bahkan tindakan mereka itu telah terkeluar jauh daripada sifat tabie’ manusia.

Mereka itu telah dibinasakan oleh Allah, dan peristiwa itu dirakam dalam surah As-Syu’ara’ ayat 165-173 yang bermaksud:

“Mereka menjawab: “Sesungguhnya jika Engkau tidak berhenti Wahai Lut (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya Engkau akan diusir keluar!” Nabi Lut berkata: “Sesungguhnya Aku dari orang-orang yang bencikan perbuatan kamu Yang keji itu”. (Nabi Lut berdoa): “Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dan keluarga serta pengikut-pengikutku dari apa yang dilakukan oleh golongan (yang jahat) itu.” maka Kami selamatkan Dia dan keluarganya serta pengikut-pengikutnya. kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang kena azab itu. kemudian Kami hancurkan yang lain (yang menentang Nabi Lut). dan Kami hujani mereka dengan hujan (azab yang membinasakan); maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa kaum yang telah diberi amaran.”

Banyak lagi peristiwa kaum yang terdahulu yang telah Allah binasakan akibat dikawal oleh nafsu. Mereka tahu Allah itu ada, tetapi kerana nafsu, menyebabkan mereka jauh daripada-Nya.


KITA JIKA BEGITU, 50-50 ALLAH DAN NAFSU, MAKA TIDAK ADA BEZANYA KITA DAN MEREKA

“Ah, kejap lagilah aku solat. Cerita tengah best ni.”

“Nanti kejap. Aku nak selesaikan kerja aku dulu. Lepas ni, aku solatlah.”

“Baca Al-Quran tu kan sunat. Bukan wajib pun. Jadi, ikut akulah aku nak baca ke tak. Aku ada misi (game) nak dihabiskan.”

Ada orang yang solat, tetapi dalam pergaulan seharian, dia tidak menjaga kata-katanya. Sering sahaja keluar kalimah-kalimah yang tidak baik.

Ada orang yang sibuk bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga, hingga melewat-lewatkan solat. Bahkan ada yang hingga terlupa terus melaksanakannya.

Ada orang yang terlalu sibuk dengan rancangan televisyen kegemarannya hingga Al-Quran pun tidak disentuhnya. Mungkin kerana tersilap memahami keperluan amalan sunat dalam kehidupan, maka semua ditinggalkannya, tidak diambil walaupun satu.

Ada orang yang solat, tetapi keluar daripada tempat solat, ia kembali mendedahkan auratnya di hadapan bukan mahramnya.

Berkongsi Allah dan nafsu dalam satu hati yang asalnya daripada Allah, mungkinkah?

Di pagi hari, bangun dan tunduk kepada Allah, tetapi kemudiannya keluar untuk bekerja, belajar dan sebagainya dalam keadaan melakukan kemungkaran kepada Allah.

Rajin dan iltizam dengan amalan sunat, tetapi tidak menjaga pandangan mata. Mata sentiasa meliar memerhati perkara-perkara dosa bila ada peluang.

Bagi Allah 50%, kemudian bagi ruang sama banyak juga untuk nafsu 50%.

Atau, kita beri Allah cuma 20% dan selebihnya untuk nafsu.

Tetapi, mungkinkah berlaku sebegitu? Beri sebahagian ruang dalam hati untuk Allah, dan tinggalkan sebahagian lagi ruang untuk nafsu dan konco-konconya.

Tidak mungkin. Tidak mungkin sekali. Yang sebenarnya, bagaimana?

KITA TELAH MEMENANGKAN NAFSU, TIDAK ADA 50-50 SEBENARNYA

Sebenarnya tidak sekali-kali akan berlaku perkongsian antara iman dengan nafsu.

Kalau kita telah berikan ruang 50% kepada nafsu untuk bertapak di hati kita, maka kita sebenarnya telah beri 100% ruang kepada nafsu.

Tidak ada 50-50 sebenarnya.

Kerana jalan nafsu dan jalan Allah adalah berbeza keseluruhannya. Tidak ada titik pertemuan walau sedikit. Umpamanya, kalau jalan Allah itu menuju ke utara, maka nafsu itu jalannya ke selatan.

Mana mungkin orang yang hendak menuju ke utara, kemudian dalam masa yang sama dia memilih jalan selatan sebagai laluan.

Jalan nafsu itu, siapa yang mengikutinya, bakal dicampakkan ke neraka.
Tetapi, jalan Allah itu, siapa yang mengimaninya, maka dia bakal menjejak kaki ke syurga.

Antara dua jalan itu, tidak ada jalan pertengahan.

Allah s.w.t. telah berfirman dalam surah As-Syams, 8-10 yang bermaksud:
“Dan Allah telah mengilhamkan jalan fujur dan jalan taqwa. Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang menyucikannya. Dan rugilah orang yang mengotorinya.”


0 ulasan:

Catat Ulasan