Isnin, 21 Mei 2012

Zakat


Harta merupakan di antara nikmat kurniaan Allah Subhanahu Wata'ala kepada hamba-hamba-Nya yang wajib disyukuri dan ditadbir dengan baik dan betul agar kita tidak kufur terhadap nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala kepada kita. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7 tafsirnya :
"Dan ingatlah tatkala Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepadamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras".
Oleh itu, Islam menganjurkan kita supaya membelanjakan harta-harta itu dengan bijak dan berlandaskan hukum syarak seperti memberi nafkah kepada orang yang dibawah tanggungan, menghulurkan bantuan atau sumbangan kepada mereka yang memerlukan dan sebagainya. Selain daripada itu, perlu juga diingat bahawa harta tersebut adalah wajib dikeluarkan zakatnya apabila telah cukup syarat-syaratnya.
Zakat merupakan salah satu rukun Islam yang wajib kita tunaikan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah An Nisaa' ayat 77 tafsirnya :
"Dan dirikanlah sembahyang serta keluarkanlah zakat".
Pengertian zakat ialah nama bagi harta yang tertentu, diambil daripada harta yang tertentu, menurut syarat-syarat yang tertentu dan diberikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya.
Orang-orang yang berhak menerima zakat itu ada lapan golongan iaitu :-
Pertama : Fakir.
Kedua : Miskin.
Ketiga : Amil.
Keempat : Muallaf.
Kelima : Hamba Mukattab.
Keenam : Orang yang menanggung hutang.
Ketujuh : Fi Sabilillah, sukarelawan yang berperang pada jalan Allah.
Kelapan : Ibnus Sabil, orang musafir yang keputusan perbelanjaan dalam perjalanan.
Ini jelas sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah At Taubah ayat 60 tafsirnya :
"Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang-orang yang berhutang dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir yang keputusan dalam perjalanan, ketetapan hukum yang demikian itu ialah sebagai satu ketetapan yang datangnya dari Allah dan ingatlah Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana".

0 ulasan:

Catat Ulasan