Isnin, 21 Mei 2012

Sabar


Manusia yang hidup di dunia ini tidak akan terlepas dari menerima ujian dan dugaan dari Allah Subhanahu Wata'ala, perbezaannya hanyalah terletak pada besar atau kecilnya, berat atau ringannya dugaan yang menimpa itu. Tetapi ujian Allah Subhanahu Wata'ala tetap berlaku. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 155 tafsirnya :
"Dan demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut kepada musuh dan dengan merasai kelaparan dan dengan berlakunya kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar".
Sebagai umat Islam kita hendaklah mempunyai kekuatan iman dalam menghadapi apa pun jua situasi yang dihadapi, baik berupa ujian untuk umum seperti kemarau panjang, kebakaran, hujan yang turun tidak hentinya sehingga menyebabkan berlakunya banjir, tanah runtuh dan sebagainya atau ujian untuk diri atau peribadi seperti penyakit, kemiskinan, kematian orang yang disayangi, dijatuhi hukuman dan sebagainya yang menimpa. Semua ujian ini, haruslah dihadapi dengan ketabahan, ketenangan dan yang paling utama ialah menghadapinya dengan penuh kesabaran.
Sifat sabar dan tabah dalam menghadapi musibah amat perlu kerana dengan sifat tersebut menjadikan kita redha terhadap qada dan qadar Allah Subhanahu Wata'ala, sekali gus mengelakkan diri kita dari bersikap marah, merasa kecewa, berputus asa dan resah-gelisah dalam menghadapi ujian. Ketahuilah sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala mencintai orang-orang yang sabar, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali 'Imran ayat 146 tafsirnya :
"Dan ingatlah Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar".

0 ulasan:

Catat Ulasan