Memaparkan catatan dengan label riak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label riak. Papar semua catatan

Jumaat, 1 Mei 2020

Ikhlas Jauh Daripada Sifat Riyak

Dr Nurkhamimi Zainuddin

Adakah sama kualiti ibadat kita ketika bersendirian dan ketika berada di hadapan orang? Mohonlah petunjuk dan bimbingan daripada Allah SWT supaya kita termasuk dalam golongan beriman dan beramal dengan penuh keikhlasan.

Ikhlas bermaksud melakukan sesuatu amalan atau kebajikan untuk mendapat reda Allah SWT semata-mata. Sifat itu menjadi syarat Allah SWT menerima ibadat yang kita lakukan.

Untuk mendapatkan keikhlasan memerlukan hati yang bersih. Antaranya, memperbanyakkan zikir; mengingatkan diri tentang keikhlasan, tidak bergantung kepada makhluk, mengagungkan Allah SWT dan istiqamah melakukan ibadat.

Amalan yang dilihat besar nilainya di mata manusia belum tentu mempunyai nilai di sisi Allah SWT, tanpa keikhlasan.

Imam al-Ghazali menyatakan dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din; “Setiap manusia akan binasa kecuali orang yang berilmu, dan orang yang berilmu akan binasa kecuali yang beramal dengan ilmunya, dan orang yang beramal juga binasa kecuali yang ikhlas dalam amalannya.”

Ikhlas itu letaknya di hati. Ia menjadi dasar penilaian Allah SWT terhadap amalan hamba-hamba-Nya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalan kamu."

Ikhlas menjadi keutamaan dan kunci ketaatan seorang mukmin kerana:

1. Ikhlas adalah perintah daripada Allah SWT. Firman-Nya dalam Surah az-Zumar, ayat 11 bermaksud: Katakanlah lagi wahai Muhammad: “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadat kepada-Nya.”

2. Ikhlas menjadi syarat ibadat diterima Allah SWT. Firman-Nya dalam Surah Ghafir, ayat 14 bermaksud: “Oleh itu, maka sembahlah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, sekalipun orang kafir tidak menyukai amalan kamu itu.”

3. Ikhlas adalah tanda keimanan yang memberikan ketenangan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Fath, ayat 18 bermaksud: “Demi sesungguhnya! Allah SWT reda akan orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya.”

4. Ikhlas menjauhkan daripada sifat riyak (menunjuk-nunjuk). Hati orang yang ikhlas tidak menunjuk-nunjuk ketika melakukan kebaikan.

5. Ikhlas menjauhkan sifat munafik. Hati yang ikhlas melahirkan akhlak yang sebenar.

Bagaimanapun, kebanyakan kita meremehkan sifat ikhlas. Kemungkinan ia sangat sulit dilakukan kerana untuk bersikap ikhlas, seseorang perlu menyingkirkan sifat angkuh dalam dirinya.

Begitu juga dengan sifat riyak. Seorang Muslim yang mampu menjalani ibadat dengan ikhlas dijanjikan pelbagai keutamaan oleh Allah SWT.

Beberapa tanda keikhlasan dapat dilihat jika seseorang merasa takut melanggar perintah Allah SWT atau dia melakukan sesuatu kebajikan secara diam tanpa menghebahkan kepada orang lain.

Penulis Dekan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia

Baca Lagi...

Ahad, 26 April 2020

Riak Jadikan Ibadah Tiada Nilai

By 9:56 PTG , No comments
Ibadah adalah suatu yang amat tinggi nilai harganya. Ia dikira bukan sekadar sahnya sahaja, malah dari sudut mabrur dan khusyuk, seterusnya diterima oleh Allah SWT.

Ustaz Pahrol Mohd Juoi mengumpamakan amalan baik atau sesuatu ibadah yang jauh daripada gamitan rahmat-Nya bagai debu berterbangan yang tidak terlihat dan berlalu tanpa diendah kewujudannya.

Begitulah butiran ilmu menerusi Islam Itu Indah minggu lalu di IKIMfm yang mengambil kira kecantikan dan keindahan ibadah perlu kekal sehingga kita bertemu-Nya tanpa terpalit sebarang cacat cela yang mengganggu gugat kemurnian amalan tersebut.

Malang bagi seseorang yang beribadah, tetapi ibadahnya tertolak, malah tidak dipandang oleh Allah SWT akibat dihinggap virus yang bernama riak.

Riak ini termasuk dalam kategori syirik kecil iaitu mensyirikkan Allah dalam ibadah. Umpama sebatang pokok yang masih hidup, tertancap akarnya, tetapi dimamah batang, ranting, malah daunnya. Ia tidak lagi dikenali sebagai pokok, tetapi hanya dipanggil sebagai tunggul.

Sesungguhnya, syirik dalam akidah amat berbahaya akan tetapi syirik dalam ibadah juga berbahaya mengundang murka dan amalan tidak diterima.

Pernah dikisahkan, suatu masa Saidina Umar masuk ke dalam Masjid Nabawi. Dia melihat seorang sahabat Muadz bin Jabal sedang menangis teresak-esak di makam Rasulullah SAW. Saat ditanya sebab tangisannya, Muadz menjawab, "Aku menangis sebab aku takut kepada riak kerana ia sebahagian daripada syirik".

Ibadah tidak bernilai

Ibadah bukan sahaja tidak bernilai jika terpalit riak, malah ia mengundang dosa. Dalam ilmu tasawuf, ilmu berkenaan riak ini wajib dipelajari kerana riak adalah perbuatan amal ibadah yang mengharapkan pujian dan manfaat daripada manusia.

Syaitan sangat kreatif dan konsisten dalam mengajak dan menyesatkan manusia. Jika belum beramal, disuntik rasa malas untuk memulakan. Sedang sudah beramal dihasut untuk tergesa-gesa mengamalkannya. Seterusnya, jika sudah mula khusyuk dan tertib dalam beribadah dimasukkan pula rasa riak di dalam hatinya.

Banyak saluran merealisasikan sifat riak dalam amalan. Contohnya, jika solat dengan niat untuk dikenali dan dilihat sebagai hamba Allah yang abid dan kuat beribadah. Kala membaca al-Quran, suara yang sedap lunak dan elok bacaannya. Menjadi qari yang disanjung, kemudian hanyut dengan pujian. Itu juga riak.

Terkadang riak ini hadir dalam keadaan yang bercampur-baur seperti beribadah kerana Allah, tetapi dalam masa yang sama terselit kemahuan untuk dihargai dan dipandang oleh manusia.

Justeru, sentiasa memohon kepada Allah untuk memberikan petunjuk dan hidayah-Nya agar terhindar daripada tipu daya syaitan yang menyesatkan waimah dengan amal kebaikan.

Ibadah yang membabitkan niat yang bercampur-baur juga tertolak dan jauh daripada pandangan Allah SWT. Oleh itu, cara untuk atasi ibadah terus koyak disebabkan perasaan riak adalah dengan sifat ikhlas.

Kisah mengenai ikhlas

Pernah dikisahkan, seorang anak murid bertanyakan gurunya mengenai ikhlas. Guru itu telah mengajak anak muridnya ke pasar sambil membawa karung guni. Sepanjang perjalanan menuju ke pasar, guru itu meminta anak muridnya memasukkan batu ke dalam karung sehingga penuh karung dengan batu yang besar.

Sesampainya di pasar, mereka berlegar-legar di sekeliling pasar tanpa membeli kerana karung mereka telah penuh dengan batu yang dikutip sepanjang jalan. Seketika kemudian mereka pulang. Sebaik kembali ke tempat tinggal mereka, si murid meletakkan guni yang berisi batu tadi. Dengan keletihan, anak murid meluahkan pertanyaan kepada si guru kaitan perbuatan tersebut dengan pengajian ikhlas yang ingin diajarkan oleh si guru.

Si guru menerangkan, batu itu umpama amalan yang riak, tidak ikhlas. Orang ramai memujinya seperti orang dipasar tadi memuji banyaknya barang yang dibeli saat melihat karung yang dipikul. Sedangkan diri anak murid itu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan, tetapi hanya batu. Begitulah amal yang tidak ikhlas.

Umpama batu hanya berat sahaja yang ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Hasilnya hanyalah penat dan merugikan masa serta tenaga.

Oleh itu, jahit semula hati, iman dan amal supaya tidak koyak kerana riak dan terjahit mati jalan-jalan hasutan syaitan asbab amal yang tidak ikhlas.


Baca Lagi...