Isnin, 6 April 2015

Toksik punca penyakit hati

MENGIKUT laporan Yayasan Hati Malaysia (MLF) tahun lalu, dianggarkan 2.5 juta penduduk di negara ini menderita penyakit hepatitis kronik dan jumlah itu tidak termasuk penyakit hati serius seperti jaundis serta sirosis hati (parut pada hati) akibat pengambilan alkohol.

Kombinasi makanan tidak berkhasiat, merokok, pengambilan alkohol, minuman berkarbonat, makanan dengan pewarna, pengawet dan racun perosak memberi kesan kepada organ yang bertanggungjawab menyingkirkan toksik dalam tubuh, menyebabkan seseorang itu terdedah kepada penyakit hati pada usia muda.

Wanita lebih terdedah penyakit hati sekalipun menjalani gaya hidup sihat tanpa mengambil alkohol dan merokok. Alat solek, barangan penjagaan diri dan rambut mungkin memberi kesan kepada sistem hormon kerana pelbagai jenis toksik daripada barangan berkenaan mudah menyerap melalui kulit.

Tambahan pula, wanita sering terdedah kepada produk pembersihan rumah yang mengandungi lebih 30 toksik dan bahan kimia yang menghakis, sesetengah daripadanya berbau harum yang memberi tanggapan salah bahawa ia bersih dan segar.

Antara gejala kemerosotan hati ialah gangguan sistem imun yang kerap menyebabkan penyakit yang memberi tekanan kepada tubuh dan boleh menyebabkan cepat tua, letih, mengantuk dan kurang daya tumpuan, kemurungan dan perubahan emosi, jerawat badan, cela pada kulit wajah, lingkaran gelap dan bengkak merah pada mata, peluh berlebihan dan badan berbau, masalah pencernaan, pedih hulu hati, kembung dan sembelit serta kurang toleransi terhadap makanan berlemak dan alkohol.


Baca Lagi...

MENGINGATI MATI

FIRMAN Allah s.w.t dalam surah An-Nisa'ayat 78 yang bermaksud: Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun di dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh.

Marilah kita merenung kembali kepada tubuh badan kita yang kerdil dan tidak ada sesuatu kekuatan yang boleh kita banggakan, walaupun bentuk rupa kita dianggap cantik dan segak. Oleh itu, kita mesti ingat bahawa tubuh badan kita itu adalah hakmilik Allah. Ia boleh mengambil roh atau nyawa manusia pada bila-bila masa sama ada di dalam keadaan kita lupa atau ingat. 

Allah merahsiakan kematian seseorang itu tanpa memberitahu kepadanya, ibu bapanya, isterinya, anak-anaknya dan seluruh keluarganya serta sahabat-sahabat karibnya. Roh (nyawa) yang ada dalam tubuh kita, pasti akan berpisah dengan badan. Itulah yang disebut maut yang pasti akan mendekati dan menemui sesiapa sahaja.

Firman Allah yang bermaksud: Katakanlah sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu.

Pada peringkat pertama manusia lahir ke dunia ini sudah menempuh penyeksaan dan kali kedua menghadapi sakaratulmaut, keluarnya roh dari tubuh itu rasa amat berat dan ngeri serta sakit pencabutannya roh dari tubuh di saat sakaratulmaut itu digambarkan kira-kira 300 kali sakitnya dengan pukulan pedang. Sabda Rasullullah yang bermaksud: (Sakitnya sakaratulmaut itu) tiga ratus sakitnya pukulan dengan pedang.

Malaikatmaut apabila mengambil nyawa orang-orang mukmin, maka roh itu keluar dari tubuh amatlah perlahan, tetapi bagi orang-orang kafir atau munafik dan musyrik, roh itu keluar dan ditarik dengan cara yang keras dan kuat. Disebutkan dalam satu riwayat: Jika seseorang itu hampir nazak, maka mulutnya dikunci dan empat Malaikat masuk kepadanya. 

Malaikat pertama ditugaskan tentang rezeki, Malaikat kedua ditugaskan tentang minuman, Malaikat ketiga ditugaskan tentang nafas dan Malaikat keempat ditugaskan tentang ajal. Kemudian datang pula Malaikat Karamakatibin yang masuk dari arah kanan dan kiri. Malaikat di sebelah kanan ditugaskan tentang amal kebajikan dan ia mengeluarkan kertas putih dan diserahkan kepadanya. Maka di kala itu dia gembira dan riang. Malaikat di sebelah kiri ditugaskan tentang amal kejahatan dan ia juga mengeluarkan kertas hitam dan diberikan kepadanya maka di kala itu ia merasa gelisah dan keringatnya mengalir. 

Kemudian datang pula Malaikatmaut dan di sebelah kanan Malaikat Rahmat dan di sebelah kiri Malaikat Azab. Apabila roh itu sudah sampai ke kerongkong, maka Malaikat maut mencabutnya. Jika ia orang yang bahagia, maka Malaikat Rahmat memanggilnya. Dan jika ia termasuk orang-orang yang celaka, maka ia dipanggil oleh Malaikat Azab. Maut itu akan tiba, ia tidak memilih sama ada orang kaya atau miskin, pemimpin besar atau kecil, jaguh-jaguh dunia atau golongan terhormat, alim ulama, munafik, kafir, petani-petani, nelayan-nelayan, peladang, buruh dan sebagainya.

Sebelum maut menemui kita perlulah kita bersedia sebagaimana kata sesetengah ulama, "Sesiapa yang membanyakkan menyebut mati akan dimuliakan dengan tiga perkara:

1. Segera ia mengerjakan taubat.
2. Memudah hatinya dengan sesuatu yang ada padanya.
3. Rajin ia mengerjakan ibadat 

Kemudian sesiapa yang lupa akan mati disiksa dengan tiga perkara:
1. Lupa akan taubat.
2. Tiada redha dengan sesuatu yang ada padanya.
3. Malas mengerjakan ibadat

Menyebut atau mengingati mati setiap masa bukan bererti menghalang kemajuan atau melemahkan semangat berjihad, malahan menambahkan kekuatan kepada Allah s.w.t.


Baca Lagi...