Isnin, 6 April 2015

Toksik punca penyakit hati

MENGIKUT laporan Yayasan Hati Malaysia (MLF) tahun lalu, dianggarkan 2.5 juta penduduk di negara ini menderita penyakit hepatitis kronik dan jumlah itu tidak termasuk penyakit hati serius seperti jaundis serta sirosis hati (parut pada hati) akibat pengambilan alkohol.

Kombinasi makanan tidak berkhasiat, merokok, pengambilan alkohol, minuman berkarbonat, makanan dengan pewarna, pengawet dan racun perosak memberi kesan kepada organ yang bertanggungjawab menyingkirkan toksik dalam tubuh, menyebabkan seseorang itu terdedah kepada penyakit hati pada usia muda.

Wanita lebih terdedah penyakit hati sekalipun menjalani gaya hidup sihat tanpa mengambil alkohol dan merokok. Alat solek, barangan penjagaan diri dan rambut mungkin memberi kesan kepada sistem hormon kerana pelbagai jenis toksik daripada barangan berkenaan mudah menyerap melalui kulit.

Tambahan pula, wanita sering terdedah kepada produk pembersihan rumah yang mengandungi lebih 30 toksik dan bahan kimia yang menghakis, sesetengah daripadanya berbau harum yang memberi tanggapan salah bahawa ia bersih dan segar.

Antara gejala kemerosotan hati ialah gangguan sistem imun yang kerap menyebabkan penyakit yang memberi tekanan kepada tubuh dan boleh menyebabkan cepat tua, letih, mengantuk dan kurang daya tumpuan, kemurungan dan perubahan emosi, jerawat badan, cela pada kulit wajah, lingkaran gelap dan bengkak merah pada mata, peluh berlebihan dan badan berbau, masalah pencernaan, pedih hulu hati, kembung dan sembelit serta kurang toleransi terhadap makanan berlemak dan alkohol.


0 ulasan:

Catat Ulasan